Tuesday 20 December 2011

KENALI SYAHID IMAM HASSAN AL BANNA


Ketika Hassan al-Banna berusia dua belas tahun, beliau menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah, dan menjadi ahli penuh pada tahun 1922.[nb 2] Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudian memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwan Muslimin. Ketika berusia tiga belas tahun, Hassan al Banna menyertai tunjuk perasaan semasa revolusi 1919 menentang pemerintahan British.[nb 3]

Pada tahun 1923 ketika berusia 16 tahun dia memasuki Dar al 'Ulum, sebuah sekolah latihan perguruan di Kaherah. Kehidupan di ibu negara Mesir menawarkannya peluang yang lebih luas berbanding di kampung serta bertemu dengan pelajar Islam terkemuka (kebanyakannya dengan bantuan kenalan ayahnya). Walau bagaimanapun, beliau amat terganggu dan tidak senang dengan pengaruh kebaratan yang dilihatnya disana, terutamanya peningkatan arus sekular seperti parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular yang terdorong ke arah melemahkan pengaruh Islam dan meruntuhkan nilai moral traditional.[nb 4] Hassan al Banna turut kecewa dengan apa yang dilihatnya sebagai kegagalan sarjana Islam di Universiti al-Azhar untuk menyuarakan bangkangan mereka terhadap peningkatan atheisme dan pengaruh mubaligh Kristian.[nb 5]

Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jama'atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah berunsurkan Islam. Melalui pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat seperti di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan orang ramai. Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.

Di tahun akhirnya di Dar al-'Ulum, beliau menulis bahawa beliau bercadang untuk menzuhudkan dirinya menjadi "penasihat dan guru" bagi golongan dewasa dan kanak-kanak agar dapat mengajar mereka mengenai matlamat "agama adalah sumber kegembiraan dan keriangan dalam kehidupan". Beliau mendapat ijazah pada tahun 1927 dan diberikan jawatan sebagai guru bahasa Arab di sekolah rendah kebangsaan di Isma'iliyya, sebuah bandar yang terletak di Zon Terusan Suez

0 comments: